EMAS, HARTANAH MANA LAGI BAGUS?

EMAS, HARTANAH MANA LAGI BAGUS?

Kedua-dua aset emas dan hartanah adalah aset yang saya suka. Tapi persoalannya mana satu yang lebih baik?

Bagi saya kedua-duanya adalah baik. Tiada istilah emas lebih baik daripada hartanah, atau hartanah lebih baik daripada emas.

Kedua-duanya berbeza, dan kedua-duanya ada kelebihan masing-masing. Yang mana lebih baik adalah bergantung bagaimana kita memanfaatkan emas atau hartanah tu.

Sebagai contoh kita membandingkan motosikal dengan kereta. Kalau kita lihat dari satu sudut seolah-olah motosikal lebih baik sebab lebih jimat, lebih cepat sampai tanpa perlu hadap kesesakan jalanraya dan tanpa tol.

Tapi kereta juga lebih baik sebab lebih selamat dari sudut keselamatan, selamat dari kena hujan atau panas dan badan pun tak letih.

EMAS SESUAI SEBAGAI SIMPANAN

Apa yang saya nampak dari pengalaman sendiri, emas ini adalah aset yang sangat sesuai untuk simpanan jangkapanjang dan mudah kecairan tunai.

Bagi saya emas adalah duit. Simpan emas seolah-olah kita simpan duit, cuma ia dalam bentuk yang lebih selamat dari sudut nilai. Bila kita nak pakai duit, kita samada cagarkan (pajak) atau jual saja untuk dapatkan tunai segera (on the spot).

Emas ini kita boleh beli dalam jumlah yang kecil kalau tak mampu beli yang besar terus. Dan aset emas juga sesuai bagi sesiapa yang tidak menetap di sesuatu tempat iaitu pindah randah. Maksudnya orang itu belum bersedia untuk membeli rumah.

Emas ni adalah aset yang paling selamat dari ketidaktentuan ekonomi dan politik sesebuah negara. Jika berlakunya huru-hara sesebuah negara aset emas ni kita boleh bawa lari dan bina kehidupan ditempat baru. Inilah sebahagian kelebihan emas.

PELUANG GANDAKAN KEKAYAAN DENGAN HARTANAH

Hartanah pula bagi saya bagus sebagai alat untuk menggandakan kekayaan kita. Walaupun kita beli hartanah dengan hutang, tapi itu adalah hutang yang baik.

Dan ada kemungkinan hartanah adalah pelaburan yang paling cepat membuatkan kita lebih kaya dengan leverage pinjaman bank. Bank sangat suka bagi pinjaman beli rumah sebab bank merasakan ia adalah pinjaman yang selamat (secure) bagi pihak bank.

Harga rumah juga semakin lama semakin naik. Kalau kita tidak duduk di rumah yang telah dibeli kita boleh sewakan rumah tu. Kita boleh dapat “passive income” dari hasil sewaan rumah.

Hasil dari sewaan tu kita boleh guna untuk cover bayaran pinjaman bank. Rumah yang kita beli dari pinjaman bank dibayar oleh orang lain (penyewa), tapi pengakhirannya rumah tu akan jadi milik kita.

Dan katakanlah selepas 5 tahun kita tak mampu nak bayar ansuran bulanan pinjaman tu, kita boleh saja jual rumah tu dengan harga yang lebih tinggi. Kalau ditakdirkan kita mati awal sebelum bayaran pinjaman selesai, rumah tu akan jadi milik waris yang terdekat. Itupun sekiranya kita ambil pelindungan takaful. Jadi itulah antara kelebihan hartanah.

LINDUNGI KEKAYAAN DENGAN ASET FIZIKAL

Dalam penulisan Robert Kiyosaki beliau menulis setiap daripada kita hendaklah menyimpan kekayaan dalam bentuk hartanah 40% dan 25% dalam bentuk emas & perak. Hanya 10% saja yang dibiarkan dalam bentuk tunai (cash).

Maksudnya disini kita mesti simpan sekurang-kurangnya 65% kekayaan dalam bentuk aset fizikal, bukan ASET KERTAS!

Ini adalah kerana bila berlakunya ketidaktentuan ekonomi dan politik, aset fizikal tidak akan terjejas dan akan terus dapat bertahan.

Bila berlaku ketidakstabilan politik negara, ‘tali hayat’ terakhir yang akan jadi penyelamat tentunya emas dan perak.

Jadi kesimpulannya bagi saya, kita tukarkan simpanan untuk jangkapanjang kepada emas & paksa diri kita untuk jadi kaya dengan membeli hartanah. Tapi walaupun kedua-dua aset ini baik, ia perlu dimulakan dengan ilmu terlebih dahulu.

Khaja Nazimudeen

10.06.2020

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *