Kalau orang tanya saya, adakah emas ni bagus daripada ASB dan pelaburan yang lain? Saya akan jawab: tak ada pelaburan yang sempurna.
Setiap pelaburan ada kelebihan dan kekurangan tersendiri. Tak kisahlah samada ASB, Tabung Haji, unit trust, saham, emas, perak, mahupun hartanah.
Kesemua instrumen pelaburan tersebut hanyalah sebagai alat kewangan. Yang mana yang terbaik, ia bergantung kepada apa yang kita nak sebenarnya.
Kalau kita lihat perbandingan antara alat tukul besi dan gergaji keduanya ada kelebihan tersendiri. Tukul besi tak semestinya lebih baik dari gergaji. Gergaji pula tak semestinya lebih baik dari tukul besi. Itu bergantung apa yang kita nak.
Fahami Setiap Jenis Pelaburan
Kalau kita nak untung tahunan yang konsisten dan lebih terjamin, ASB dan Tabung Haji lebih baik. Kita boleh dapat dividen setiap hujung tahun.
Tapi kalau kita nak pastikan nilai simpanan itu bertahan dalam jangka panjang, EMAS lebih baik sebab emas bebas dari risiko inflasi, penyusutan ringgit, dan ketidaktentuan ekonomi dan politik.
Kalau nak elak duit simpanan sentiasa bocor, EMAS lebih baik sebab emas memberikan kesan emosi kepada penyimpan. Ketagih membeli tetapi sayang nak jual. Itu fitrah manusia dengan emas.
Kalau kita nak gandakan kekayaan menggunakan duit bank (pinjaman), HARTANAH lebih baik. Pinjaman bank tak akan membebankan kita sebab hartanah agak stabil dalam jangka panjang.
Kalau nak pendapatan bulanan berterusan dari pelaburan seperti duit pencen, maka HARTANAH lebih baik sebab boleh dapat hasil sewaan setiap bulan.
Dan begitulah seterusnya dengan pelaburan-pelaburan yang lain.
Hati-hati Dengan Penasihat Kewangan
Kalau kita nak melabur, jangan tanya ‘penasihat kewangan’ apa pelaburan terbaik sebab kebanyakkan ‘penasihat kewangan’ hanyalah salesman produk pelaburan.
Komen mereka terhadap sesuatu pelaburan mungkin berat sebelah. Jadi kita mesti menilai dari sudut ilmu yang kita perlu tahu.
Walaubagaimana pun, nasihat dari “salesman pelaburan” itu penting sebelum kita melabur sebab mereka lebih tahu tentang produk yang mereka jual.
Tetapi keputusan akhir mesti dinilai semula mengikut matlamat kewangan kita sendiri.
Ingat ini, walau apapun instrumen pelaburan yang nak kita ceburi, ia tetap berbalik kepada perkara paling asas iaitu mesti jadikan tabiat menyimpan wang setiap bulan diutamankan.
Kalau tabiat menyimpan wang tak berjaya buat, apa jenis pelaburan pun tak akan membuatkan kita kaya.
Khaja Nazimudeen
05.06.2020