AKAUN PELABURAN EMAS (GIA) ATAU EMAS FIZIKAL

AKAUN PELABURAN EMAS (GIA) ATAU EMAS FIZIKAL

Dalam pelaburan emas, selalunya orang baru yang nak berkecimpung dalam dunia emas ini risau isu keselamatan menyimpan emas. Antaranya takut emas itu hilang atau dicuri. Jadi ada sebahagiannya memilih kaedah beli emas dengan Akaun Emas GIA.

Persoalannya, adakah berbaloi mereka masukkan duit dalam Gold Investment Account (GIA) yang banyak ditawarkan oleh pihak bank di Malaysia?

Saranan dari kesemua pakar pelaburan emas mencadangkan agar kita beli emas fizikal (samada bentuk jongkong atau syiling dinar). Prinsip asasnya beli emas mesti dapat emas fizikal bukan sekadar dapat nombor atau kertas.

Kenapa pakar sarankan beli emas dapat emas? Sebabnya kita akan dapat lebih banyak manfaat menyimpan emas selain “beli harga rendah, jual harga tinggi. Kuasa sebenar emas ialah pada fizikalnya, bukan sekadar permainan nombor semata.

Simpanan Emas Dengan Cara Selamat

Tidak ada apa yang perlu dirisaukan dari aspek simpanan. Banyak bank atau syarikat swasta ada sediakan Safe Deposit Box dengan kadar sewaan yang berpatutan. Kita ada pilihan samada nak simpan emas itu sendiri atau menyewa safe deposit box.

Gambar sebenar peti simpanan emas milik Public Gold

Sesetengah syarikat pengeluar emas seperti Public Gold ada menyediakan khidmat simpanan emas percuma dan berbayar dengan caj yang sangat berpatutan. Yang percuma itu adalah beli emas melalui akaun emas GAP (Gold Accumulation Program).

Yang penting beli emas mesti ada wujud emasnya. Kita boleh pegang dan simpan sendiri bila-bila masa kita mahu.

Kelebihan Atau Manfaat Emas Fizikal

Ada 7 kelebihan bila kita memiliki emas secara fizikal berbanding hanya kertas atau nombor (akaun emas GIA);

i) “Rolling” Duit

Bila ada emas fizikal, duit kita tidak beku seperti pelaburan lain kerana emas itu ada ditangan kita sendiri. Emas itu boleh dijadikan sebagai cagaran untuk dapatkan PINJAMAN SEGERA daripada Ar-Rahnu bila kita perlukan tunai. Bagi yang berniaga, kita boleh manfaatkan emas itu sebagai modal pusingan bisnes.

ii) Peluang Untung Bila Harga Jatuh

Akaun emas GIA, bila harga emas jatuh kita tidak boleh buat apa-apa selain melopong tengok harga emas jatuh dan berkemungkinan tanggung rugi. Hakikatnya kita tidak memiliki emas sebenar, sebaliknya hanya memiliki nombor dan kertas saja.

Berbeza bagi pemilik emas fizikal, kalau harga emas jatuh mendadak sekalipun kita boleh membeli emas lagi dengan memajakkan emas sediaada di Ar-Rahnu untuk dapatkan tunai.

Kebiasaannya bila harga emas jatuh mendadak, harganya akan naik semula ke paras sebelumnya dalam tempoh tidak begitu lama. Bila harga emas naik, emas yang dibeli dari hasil pinjaman ar-rahnu sudah boleh dijual pada harga tinggi.

Tapi teknik ini jangan dilakukan dengan cara semberono kecuali kita sudah buat pengiraan yang terperinci tentang potensi keuntungan berbanding risikonya.

iii) Duit Simpanan Bertahan Lama

Kebanyakkan yang saya perhatikan mereka yang suka simpan emas, sebab utama mereka beli emas adalah untuk mengelakkan kebocoran duit simpanan. Kata mereka kalau simpan duit dalam bank, duit itu cepat habis. Simpan sikit-sikit lama-lama makin sikit sebab duit simpanan itu sentiasa “bocor” dibelanjakan.

Kalau simpan duit dalam bentuk emas, duit itu lebih bertahan lama. Emas memberi kesan emosi yang mendalam kepada pemiliknya. Sekali beli emas, mesti rasa nak beli lagi. Akan ada perasaan nak kumpul banyak sebab ia cantik. Ini fitrah yang Tuhan jadikan kepada manusia iaitu sukakan emas.

Bila nak guna duit, rasa sayang hendak jual emas. Kalau terpaksa jual, biasanya pasti akan membeli semula. Tabiat suka menyimpan dan kumpul emas itu yang membuatkan penyimpan emas kekal kaya dan bertambah kaya.

Tapi perasaan ini tidak dapat dirasakan oleh mereka yang hanya simpan duit dalam Akaun Emas GIA. Akaun Emas GIA hanya ada kertas dan nombor saja, sama seperti simpanan biasa dibank. Simpan duit tetap berisiko untuk bocor sebab tak ada “feel” sebagaimana simpan emas fizikal.

iv) Waktu Urusan Lebih Fleksibel

Simpan emas dalam Akaun Emas GIA, urusan jual beli tertakluk pada waktu bekerja saja. Dan urusan jual beli itu juga hanya dengan bank tertentu saja. Beli dengan Bank A, hanya boleh jual dengan Bank A saja, tak boleh jual ditempat lain.

Berbeza dengan emas fizikal, urusan jual belinya lebih fleksibel. Ia tidak tertakluk dalam waktu tertentu dan hari bekerja. Hari cuti, hujung minggu, waktu malam, bahkan kalau pergi keluar negara pun emas itu boleh dijual beli. Asalkan emas tulen.

Setakat ini dalam pemerhatian saya, syarikat pengeluar emas yang menawarkan kaedah jual beli yang fleksibel di Malaysia iaitu Public Gold saja yang ada ciri-ciri ini. Kita boleh “kunci harga” 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

v) Selamat Daripada Dibekukan

Pakar logam berharga iaitu Michael Maloney, katanya emas (dan perak) adalah satu-satunya aset kewangan yang tidak berada dalam sistem kewangan. Hanya kita saja yang tahu berapa banyak emas yang kita ada. Tidak ada sesiapa tahu, bahkan bank mahupun kerajaan.

Bagi orang yang telah diisytiharkan bankrup, mereka tidak boleh ada simpanan lain kecuali emas. Semua aset dalam bentuk lain akan dibekukan oleh kerajaan.

Emas fizikal tidak boleh dibekukan. Ia tidak perlukan sijil pemilikan, geran atau sebagainya. Akan tetapi Akaun Emas GIA, sama dengan akaun-akaun bank yang lain (boleh dibekukan).

vi) Selamat Dari Bencana Kewangan

Selama ini mungkin kita berfikiran hanya individu saja yang boleh jatuh bankrap, tapi sebaliknya bank juga boleh jatuh bankrap dan ia sudah banyak yang berlaku.

Perkara seperti ini boleh terjadi jika berlaku bencana ekonomi yang menjejaskan sistem kewangan negara sebagaimana krisis kewangan tahun 1997. Bank bank yang bermasalah dan diarahkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk bergabung bagi mengukuhkan semula institusi perbankan di Malaysia.

Dan mungkin ramai tidak tahu, Akaun Emas GIA di bank tidak dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) macam akaun simpanan biasa di bank. Kalau bank bermasalah atau bankrup maka, emas kita itu tidak dilindungi. Yang tinggal pada ketika itu hanyalah nombor dan kertas saja.

Berbeza dengan emas fizikal yang lebih selamat dalam simpanan kita sendiri. Apa saja yang berlaku pada ekonomi negara, simpanan emas kita tidak akan terjejas.

vii) Lebih Patuh Syariah

Simpanan emas dalam Akaun Emas GIA (yang tidak ada emas fizikal) adalah disahkan tidak patuh syariah. Walaupun namanya akaun emas tapi hakikatnya tiada emas yang boleh dipegang. Kita hanya dapat kertas dan nombor dalam bentuk penyata saja.

Akaun Emas yang mematuhi syariah mestilah Akaun Emas yang boleh dikeluarkan emas fizikal. Beli mesti dapat emasnya bukan hanya bermain dengan nombor semata-mata.

Buat masa sekarang akaun emas yang membenarkan pengeluaran emas fizikal di Malaysia ialah; Kuwait Finance House, Public Gold (bukan bank) dan yang terbaru Bank Muamalat.

Tapi perlu ingat, beli emas melalui Akaun Emas di bank kita terikat dengan syarat-syarat yang cerewet apabila berurusan. Urusan jual semula emas fizikal perlu emas dalam kondisi yang “tip-top” tanpa ada kecacatan pada plastik (seal). Kalau didapati rosak ada sesetengah bank tidak membeli semula emas tersebut.

 

Khaja Nazimudeen 

Ipoh, Perak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *