ISTIMEWANYA EMAS SEBAGAI SIMPANAN

ISTIMEWANYA EMAS SEBAGAI SIMPANAN

Untuk simpanan jangkapanjang saya secara peribadi lebih suka simpan emas berbanding simpan tunai yang dibiarkan saja di dalam bank. Ini disebabkan:

  • nilainya lebih terjamin untuk jangkapanjang
  • mudah dicairkan (ditukarkan) kepada tunai
  • aset yang mampu dimiliki
  • kekayaan sebenar ditangan kita
  • aset mudah alih (ke mana saja)
  • tiada rekod di mana-mana (tiada siapa tahu)

Nilai Terjamin Untuk Jangkapanjang

Kita lihat contoh yang sangat popular diceritakan berkaitan emas iaitu sejak zaman Nabi Muhammad SAW satu dinar (emas 4.25gram) boleh membeli seekor kambing. Sehingga hari ini (selepas 1400 tahun lalu) dengan harga satu dinar masih lagi boleh digunakan untuk membeli seekor kambing.

Mungkin kambing ada pelbagai jenis baka dan juga saiz (itu hal lain), tapi nak diceritakan ianya masih lagi mampu untuk membeli seekor kambing dengan harga satu dinar. Disini terbukti kuasa beli satu dinar emas bertahan selama lebih 1400 tahun!

Ianya berbeza dengan duit kertas yang kita simpan di bank.

Saya bagi contoh semasa saya belajar disekolah rendah pada tahun 1990-an dahulu, budak-budak sekolah pada zaman itu majoriti dibekalkan dengan belanja sekolah 50 sen sehari. Dengan jumlah 50 sen itu cukup untuk saya makan kenyang disekolah.

Tapi pada hari ini dengan 50 sen yang sama, hanya mampu membeli sebiji kuih sahaja. Dipendekkan cerita kalau kita bekalkan anak dengan 50 sen pada hari ini untuk belanja persekolahan, alamatnya “kebuluran” anak tu tak makan disekolah!

Nampakkan kuasa beli emas itu lebih kukuh berbanding dengan duit kertas?

Mungkin ada sebilangan diantara kita fikir ianya adalah disebabkan kenaikkan harga barang yang menjadi puncanya. Tapi hakikat sebenar disebalik kenaikan itu ialah kuasa beli pada duit kertas yang semakin jauh merosot.

Duit kertas yang kita gunakan hari ini ia tidak mampu menyimpan nilai disebabkan nilai duit itu sendiri tidak terletak pada kertasnya, tapi ia terletak pada jaminan sesebuah kerajaan yang memerintah. Nilainya akan berubah-ubah tertakluk kepada kestabilan ekonomi dan politik sesebuah kerajaan yang memerintah.

Dari satu aspek yang berlainan, emas ialah satu-satunya aset kewangan yang mana nilainya tidak akan menjadi “KOSONG”! Ia tidak ada tarikh luput, tidak hangus dek api, bahkan dalam bentuk serbuk pun masih lagi bernilai. Emas ialah aset yang tidak boleh dimusnahkan (dibinasakan) sama sekali.

Mudah Dicairkan (Ditunaikan)

Emas juga adalah duit tunai, cuma ia dalam bentuk yang berlainan. Emas aset fizikal yang mudah ditukarkan kepada tunai. Bila-bila masa perlukan duit, kita boleh pajak atau jual terus dan dapat duit pada masa itu juga.

Emas laku dijual pada bila-bila masa atau dimana jua tempat diseluruh dunia. Kalau ke luar negara kita boleh jual emas itu disana jika kecemasan memerlukan tunai. Dalam sejarah juga telah menunjukkan emas ini telah digunakan sebagai duit sejak berkurun lamanya. Ia adalah duit yang tiada sempadan masa dan negara.

Aset Yang Mampu Dimiliki

Emas adalah aset fizikal yang mampu dimiliki bagi sesiapa pun. Ini kerana ia berbeza dengan aset fizikal lain seperti tanah dan hartanah. Tanah dan hartanah kita memerlukan bajet yang besar untuk memilikinya. Bukan boleh dibeli secara sikit-sikit.

Berbeza dengan aset emas, dimana kita boleh memilikinya dengan secara sikit-sikit bermula dengan item sekecil 1 gram. Emas boleh dijadikan simpanan bulanan. Sebagai contohnya kita boleh disiplinkan diri dengan simpan “1 bulan 1 gram” sebagai forgotten saving. Sedar tak sedar cukup setahun dah memiliki 12 gram (atau lebih).

Dikuatkan lagi dengan adanya kaedah simpanan emas melalui “Akaun Emas” yang ditawarkan oleh syarikat seperti Public Gold dan juga beberapa buah bank lain, kini setiap daripada kita boleh membeli dan menyimpan emas dengan mudah dan murah.

Ianya terbukti benar sebagai aset fizikal yang mampu dimiliki oleh sesiapa saja termasuk golongan pelajar mahupun bayi baru lahir.

Kekayaan Sebenar Di Tangan Kita

Simpan emas hakikat sebenar kekayaan itu berada pada diri kita sendiri. Apa saja berlaku pada ekonomi dan politik semasa nilai emas tetap tidak terjejas. Nilainya dipegang kukuh oleh berat dan ketulenannya tanpa perlu jaminan oleh sesiapa.

Berbeza dengan aset fizikal lain yang mana nilainya bergantung kepada faktor luar.

Nilai duit kertas bukan terletak pada kertasnya. Sebagai contoh jika duit RM100 jika dipotong dua, nilainya tidak terbahagi kepada dua (RM50 + RM50). Nilainya menjadi RM0! Kalau sekadar diconteng pun nilainya boleh jadi RM0.

Duit kertas kalau disimpan dibawah bantal ia boleh jadi tidak laku sebab ia ada tarikh luput sebagaimana duit RM1000 dan RM500 suatu ketika dulu yang sudah tidak lagi sah diperakukan dengan nilai. Duit itu juga sudah sah-sah tidak lagi laku walaupun dibawa keluar negara.

Maksudnya disini, walaupun duit itu berada ditangan kita, hakikatnya kekayaan itu bukan ditangan kita. Nilai duit kertas bergantung kepada jaminan kerajaan semata. Kerajaan perlu meletakkan “nilai paksa” keatas  sekeping kertas yang nilainya mungkin hanya beberapa sen saja dengan pengesahan “Wang kertas ini sah diperakukan dengan nilai”.

Jadi sebanyak manapun kita menyimpan duit kertas, hakikatnya kita hanya memiliki kekayaan secara maya. Kekayaan itu bukan berada ditangan kita, yang mana ia boleh hilang dalam sekelip mata.

Aset Mudah Alih

Emas ialah aset fizikal yang paling mudah alih. Ia adalah aset “mobile”, boleh dibawa ke mana-mana yang kita suka.

Berbeza dengan aset fizikal lain seperti rumah dan tanah ia tidak boleh dialihkan. Kalau nak jual pun prosesnya memakan masa yang lama untuk dapatkan tunai. Paling cepat pun ia memakan masa dalam 6 bulan ke 9 bulan.

Kita ambil contoh sejarah peperangan antara Vietnam dan Amerika Syarikat suatu ketika dulu. Ramai penduduk Vietnam lari meninggalkan negara mereka (jadi pelarian). Mereka menjual harta mereka (tanah,rumah dll) dan ditukarkan kepada kepingan-kepingan emas yang dinamakan Vietnam Kim Thant. Dengan kepingan emas tersebut mereka memulakan hidup yang baru di negara lain.

Cuba bayangkan atau fikirkan, jika pelarian-pelarian itu bawa duit kertas mereka ke negara lain, adakah ianya boleh digunakan sebagai modal untuk memulakan kehidupan yang baru?

Tiada Rekod Di Mana-mana

Apabila kita menyimpan emas, tiada siapa yang tahu berapa banyak emas dalam simpanan kita. Kecuali kita sendiri yang bagitahu. Menurut kata Robert Kiyosaki, emas dan perak adalah aset kewangan yang tiada rekod dalam sistem kewangan.

Dengan erti kata lain, keistimewaan ini juga boleh dirasai oleh orang yang telah diisytihar bankrup (muflis) dengan mengumpul aset untuk meneruskan kehidupannya. Tiada siapa pun tahu jika orang bankrup menyimpan aset dalam bentuk emas.

Berbeza dengan aset lain seperti akaun bank, rumah, saham dan lain-lain kerana aset seperti ini mempunyai rekod dalam sistem kewangan atau rekod di pejabat tanah, lembaga hasil (rekod kerajaan).

Khaja Nazimudeen

Ipoh, Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *